Menjalankan bisnes dari rumah bukan sahaja dapat menjimatkan kos dan masa tetapi mempunyai lebih banyak masa untuk keluarga.
Assalamualaikum wbt semua. Entry kali ini dak civil nak kongsikan rahsia untuk berjaya kepada suri rumah yang bosan duduk kat rumah tak tahu buat apa. Haaa.. mesti ada yang bosan setiap hari buat perkara yang sama. Tak basuh baju, basuh pinggan. Tak basuh pinggan, kemas bilik. Tak kemas bilik tengok movie. Itu sahajalah kerja seharian menjadi suri rumah. Persoalannya, apakah langkah seorang suri rumah untuk menjadikan kerja seharian lebih menguntungkan?. Ya! Sudah tentu dengan membuat bisnes sambilan. Tapi apa yang perlu dilakukan supaya bisnes yang dilakukan itu kekal konsisten setiap bulan?
Disini dak civil akan menceritakan beberapa perkara yang suri rumah boleh lakukan.
1) Jadi lebih bermotivasi
Golongan suri rumah boleh menjalankan perniagaan walaupun mereka sibuk menguruskan rumah tangga dan anak-anak. Para suri rumah dapat memanfaatkan sepenuh masa mereka dengan mencari pendapatan sampingan untuk membantu meringankan bebanan suami.
Mempunyai bisnes akan menjadikan para suri rumah lebih bermotivasi dan memiliki inisiatif untuk memajukan diri serta keluarganya. Bisnes akan memberikan lebih banyak pendedahan kepada para suri terhadap perkembangan yang berlaku di dunia luar. Sekali gus turut memainkan peranan dan memberikan sumbangan terhadap pembangunan masyarakat.
2) Harus bersedia untuk melakukannya.
Bisnes dari rumah akan memberikan ruang dan peluang kepada para suri untuk melaksanakan kewajipannya sebagai isteri., ibu serta pengurus rumah tanpa menjejaskan keperluan dan keutuhan keluarga. Bisnes tidak boleh dijalankan secara paksa lebih-lebih lagi dalam keadaan yang tegang dan keletihan. Justeru, para suri rumah yang ingin menjalankan bisnes harus bersedia untuk melakukannya biarpun dalam keadaan yang santai.
3) Bisnes makanan
Persoalannya disini ialah apakah bisnes yang boleh dilakukan dari rumah? Terdapat banyak jenis yang boleh diteroka oleh para suri. Diantaranya ialah bisnes makanan. Apabila sebut tentang bisnes makanan kita akan terbayangkan restoran, kantin, kedai dan gerai makan. Bidang bisnes makanan sebenarnya boleh diusahakan dari rumah. Para suri boleh memasak nasi lemak dan menyediakan pelbagai jenis kuih muih untuk dihantar ke gerai dan kedai-kedai makan yang berhampiran dengan tempat tinggal. Bagi mereka yang pandai buat kek boleh ambil tempahan daripada pejabat atau menjual secara dalam talian atau di pasar lambak pada setiap hujung minggu yang semakin popular di kalangan rakyat Malaysia.
4) Katering dari rumah ke rumah
Suri rumah juga boleh membuat katering menyediakan makanan untuk dibekalkan kepada rumah-rumah yang berada dalam kawasan kejiranan. Ramai ibu bapa yang sibuk dengan pekerjaan sehingga tidak mempunyai masa untuk memasak dirumah. Anak-anak diberikan wang saku untuk makan di luar. Namun,kian ramai ibubapa menyedari kesan buruk makan di luar lebih-lebih lagi makanan segera yang tidak mempunyai khasiat dan tidak baik untuk perkembangan mental serta kesihatan anak-anak mereka. Para suri boleh memasak untuk rumah dan keluarga yang memerlukan khidmat mereka mengikut waktu-waktu yang dikehendaki oleh para pelanggan.
5) Berani mencuba!
Para suri juga boleh menggunakan kawasan rumahnya dengan membuka warung kecil bagi menjual pelbagai juadah untuk hidangan pagi, tengah hari,petang dan malam. Seorang usahawan dan sesiapa yang ingin menceburi bidang perniagaan harus kreatif serta berani mencuba. USAH TAKUT menyediakan juadah yang lain daripada yang lain. Ramai suri rumah suka membuat eksperimen dalam masakannya dengan menjadikan anak-anak dan suami sebagai bahan ujinya.
6) Bukan sekadar meraih keuntungan
Apa yang penting ialah kepuasan pelanggan. Keuntungan akan datang kemudian hari. Buat yang terbaik dan sedap itu lebih baik sebelum mengejar keuntungan. Dalam bisnes, adakalanya bukan keuntungan yang dicari tetapi kepuasan apabila segala usahanya dihargai dan terus konsisten melakukan perniagaan yang dilakukan walaupun bergelar suri rumah.
Bisnes bukan sekadar mengejar keuntungan. Tetapi juga mengejar kualiti produk kita. Dan yang paling penting masa bersama suami dan anak-anak tidak diabaikan.
Itu sahaja untuk entry kali ini. Semoga entry kali ini bermanfaat buat para suri rumah di Malaysia dan seluruh negara. Itu sahaja dari dak civil. Teruskan menyokong blog ini untuk mengetahui pelbagai maklumat, tips dan ilmu yang menarik. Terima kasih! :)
Comments
Post a Comment